Makanan buat baja
29 July 2024
BERDASARKAN Data Sisa Pepejal Tahun 2023, rakyat Malaysia membuang 17,379 tan sehari sisa makanan dan itu bersamaan 473 gram, untuk setiap individu.
Melihat kepada isu terbabit, Le Meridien Petaling Jaya, ahli WCT Holdings Bhd dan Marriott International menerusi Le Meridien Petaling Jaya mengambil inisiatif proaktif mengurus dengan pendekatan proses biokonversi mudah alih entomal.
Proses ini membolehkan sisa makanan dari dapur hotel diubah kepada sumber protein serangga yang kaya dengan nutrien dan baja organik.
Menurut Pengurus Besar Le Meridien Petaling Jaya Christopher Moore, inisiatif itu bermula pada April lalu berjaya mengurangkan sisa makanan hotel sekitar 1,200 kilogram (kg) sebulan.
"Sehingga kini, jumlah kutipan sisa makanan yang dirawat ialah 3,175.9 kg. Jumlah itu berupaya menghasilkan protein larva sebanyak 485.05 kg dan 698.30 kg baja.
"Setara dengan jumlah sisa makanan itu, sebanyak 7.93 tan pelepasan karbon (CO2) dapat dihalang dan ia menyelamatkan 782 pokok.
"Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi hotel tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai sisa makanan dalam kalangan tetamu dan pekerja," katanya.
Dia juga gembira apabila kakitangan terbabit komited melancarkan operasi pengurusan sisa makanan terbabit.
"Pasukan berdedikasi hotel, termasuk ahli dari jabatan kejuruteraan, operasi dan kulinari bersama-sama menguruskan segala-galanya daripada kutipan sisa kepada pemprosesan dan penggunaan produk akhir.
"Ini menunjukkan kebersamaan dan sikap prihatin setiap pihak terbabit dalam memastikan sisa makanan tidak dibuang ke tempat pelupusan sampah," katanya.
Meskipun inisiatif itu baru menginjak empat bulan pelaksanaannya, namun impak usaha pihaknya itu mula dilihat memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Hasil daripada pengurusan sisa makanan yang menghasilkan protein serangga kaya dengan nutrien dan baja organik, ia dijual kepada penternak serta petani bandar.
Program itu direalisasikan menerusi kerjasama dengan Entomal Biotech Sdn Bhd.
Sementara itu Pegawai komersialnya Yanni Xinyan Ching berkata, kaedah penguraian ini menggunakan kurang tenaga dan menghasilkan kurang gas metana.
Dalam menghasilkan protein serangga dan baja organik itu, proses terbabit menggunakan lalat askar hitam (black soldier).
"Sisa makanan dalam industri hospitaliti antara isu penting dengan implikasi alam sekitar dan ekonomi selain pengeluaran sisa makanan membabitkan isi rumah.
"Kami memuji kepekaan dan keprihatinan Le Meridien Petaling Jaya kerana mengambil langkah penting ke arah mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan dan menerima ekonomi pekeliling.
"Inisiatif ini membawa banyak faedah kepada hotel dan komuniti yang lebih luas," katanya.
Klik
sini untuk membaca artikel asal dari Harian Metro.