Program TKHM Bersama WCT: Balai Raya Kembali ‘Bernyawa’
15 November 2025
 
KAJANG, 15 NOVEMBER 2025 - Balai Raya Kampung Sungai Kembong Hilir kembali 'bernyawa' selepas melalui proses baik pulih menerusi program Titipan Kasih Harian Metro Bersama WCT, Khamis lalu. 
 
Bertemakan Mengeratkan Komuniti Bersama Membina Negara, ia memperlihatkan usaha kedua-dua pihak memperbaiki kemudahan awam, sekali gus mengembalikan fungsi kemudahan kampung itu sebagai pusat komuniti setempat. 
 
Balai raya berusia lebih 80 tahun itu dibaik pulih secara berperingkat dengan semangat gotong royong penduduk. 
 
Mantan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, WCT Holdings Berhad, Datuk Ab Wahab Khalil berkata, kerjasama dengan Harian Metro melalui projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) disifatkan usaha besar yang memberi manfaat kepada penduduk. 
 
"Program ini bertujuan memupuk semangat prihatin dan perpaduan melalui penambahbaikan kemudahan awam yang menjadi pusat kegiatan masyarakat. 
 
"WCT melaburkan 0.1% daripada hasil tahun sebelumnya untuk CSR yang kita kembalikan semula kepada rakyat. Ini antara cara kami pastikan masyarakat turut mengecapi kejayaan yang kami capai," katanya. 
 
Beliau berkata, pihaknya menghargai kerjasama Harian Metro yang disifatkan seiring dengan nilai keprihatinan diterapkan WCT. 
 
"Kami bersyukur Harian Metro sudi bekerjasama dengan WCT untuk kempen CSR ini. Kami berharap usaha seperti ini dapat diteruskan demi kebaikan warga kampung. 
 
"Dengan sokongan sukarelawan ditambah kegigihan penduduk setempat, kita berjaya hidupkan kembali balai raya ini dengan fungsi lebih pelbagai, dari dapurnya, dalam balai rayanya sehinggalah tandas yang dinaik taraf. Semuanya untuk memastikan masyarakat, terutama kanak-kanak dan pelajar, dapat menggunakan bangunan ini semula," katanya. 
 
Menurutnya lagi, program turut memberi pengalaman baharu kepada ramai sukarelawan WCT yang pertama kali menjejakkan kaki ke perkampungan tradisi. 
 
"Ada yang kulitnya putih, hari ini dah jadi gelap kena matahari," selorohnya sambil menyifatkan ia pengalaman berharga yang mendekatkan warga bandar dengan realiti komuniti luar bandar. 
 
Mengulas harapan terhadap projek berkenaan, Ab Wahab berkata, WCT mahu memastikan sumbangan memberi manfaat berterusan kepada penduduk. 
 
"Kami harap projek ini terus dimanfaatkan masyarakat, terutama kampung yang mungkin terpinggir daripada arus pembangunan. Insya-Allah, WCT akan terus bersama TKHM kerana kami ada peruntukan tahunan khusus untuk projek kemasyarakatan," katanya. 
 
Antara penambahbaikan dilaksana ialah menaik taraf tandas, membaiki dapur, mengecat beberapa bahagian balai raya, menyediakan gelanggang serba guna, menambah 10 meja serta 50 kerusi baharu dan mewujudkan sudut bacaan lengkap dengan 300 bahan bacaan. 
 
Sebanyak 100 Kotak Rezeki TKHM bernilai RM100 setiap satu diagih kepada keluarga kurang berkemampuan dari tiga kampung iaitu Kampung Sungai Kembong Hilir, Kampung Rinching Hilir dan Kampung Sungai Kembong Hulu. 
 
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM, Husain Jahit berkata. program berkenaan kesinambungan komitmen Harian Metro sebagai media dekat dengan denyut nadi rakyat sejak 34 tahun lalu. 
 
"Kolaborasi strategik dengan WCT bukan sekadar kerjasama korporat, tetapi manifestasi jiwa besar kita untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Melalui TKHM, kami jadi 'jambatan' menghubungkan rakan korporat prihatin dengan komuniti yang memerlukan," katanya dalam ucapan perasmian majlis itu. 
 
Hadir sama, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhammad Safar Ahmad; Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz, Ketua Kampung Sungai Kembong Hilir, Jumad Omar dan aktivis Kampung Sungai Kembong Hilir, Datuk Rahman Mokhtar. 
 
Husain berkata, gotong-royong membaik pulih balai raya menunjukkan betapa kuatnya nilai perpaduan dan kepedulian sosial apabila masyarakat dan sukarelawan berganding bahu. 
 
"Balai raya ini kini kembali ceria dan selesa. Dari kelas tuisyen, kelas memasak hingga aktiviti sukan, semuanya dapat dilaksana semula di sini. Nilai gotong-royong ini yang mesti kita suburkan agar warisan kekitaan terus mekar," katanya. 
 
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada WCT dan seluruh penduduk kampung yang menjayakan program itu. 
 
Pengurus Urusan Kumpulan WCT Holdings Berhad, Datuk Lee Tuck Fook dalam kenyataan berkata, pihaknya amat menitikberatkan sumbangan kepada masyarakat, selaras peranan syarikat dalam pembangunan negara dan kesejahteraan komuniti. 
 
"Sebagai syarikat terlibat dalam membina infrastruktur dan mercu tanda negara, kami percaya kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui projek pembangunan yang dilaksana, tetapi juga melalui sumbangan bermakna terhadap kesejahteraan masyarakat. 
 
"Kerjasama dengan Harian Metro membolehkan kami mengukuhkan hubungan dengan komuniti sambil menyemai nilai empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga kerja kami," katanya dalam kenyataan. 
 
Click here to read the original article from Harian Metro.  
Latest Newsroom
11/25/2025
Sin Chew Daily