WCT Catat Hasil RM1.97 Bilion Pada FY25, Untung Susut Susulan Ketiadaan Keuntungan Luar Biasa
25 February 2026
 
KUALA LUMPUR, 25 FEBRUARY 2026 – WCT Holdings Berhad mencatatkan hasil lebih tinggi sebanyak RM1.97bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), meningkat 7.7% berbandingRM1.83 bilion pada FY24, disokong prestasi kukuh segmen pembangunan hartanah. 
 
Bagaimanapun, keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang ekuiti susut kepada RM47.8 juta berbanding RM227.9 juta pada FY24 berikutan ketiadaan keuntungan sekali sahaja berjumlah kira-kira RM184 juta daripada pengukuran semula kepentingan dalam entiti terkawal bersama yang direkodkan pada tahun sebelumnya. 
 
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4QFY25), kumpulan merekodkan hasil RM465.5 juta berbanding RM552.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang ekuiti merosot kepada RM10 juta daripada RM57.3 juta. 
 
Segmen pembinaan kembali untung operasi 
 
Segmen Kejuruteraan dan Pembinaan mencatatkan hasil RM940.6 juta pada FY25 berbanding RM1.05 bilion pada FY24, menyumbang 47.7% kepada jumlah hasil konsolidasi kumpulan. 
 
Segmen itu kembali mencatat keuntungan operasi sebanyak RM2.9 juta, berbanding kerugian  operasi RM25.4 juta setahun lalu. 
 
Sementara itu, segmen Pembangunan Hartanah muncul pemacu utama pertumbuhan apabila hasil melonjak kepada RM806.8 juta daripada RM516.2 juta pada FY24, manakala keuntungan operasi meningkat ketara kepada RM133.3 juta berbanding RM36.9 juta sebelumnya. 
 
Prestasi lebih kukuh itu didorong peningkatan jualan dan pengebilan serta jualan tanah. Setakat ini, jualan belum ditagih kumpulan berjumlah RM959.8 juta, memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih baik untuk tempoh akan datang. 
 
Pengarah Urusan Kumpulan, Lee Tuck Fook berkata, jualan memberangsangkan bagi projek Adison (Fasa 1B), W City Larkinton Johor Bahru yang merangkumi unit kediaman dan kedai runcit mencerminkan permintaan berterusan terhadap pembangunan strategik yang dirancang rapi. 
 
“Kejayaan penyerahan projek The Maple Residences di WCity OUG @ Kuala Lumpur dan apartmen Adenia di Bandar Parklands, Klang turut membuktikan komitmen kami terhadap penghantaran tepat pada masanya,” katanya dalam satu kenyataan. 
 
Sumbangan segmen pelaburan hartanah susut 
 
Segmen Pelaburan dan Pengurusan Hartanah pula mencatatkan hasil RM225.6 juta dan keuntungan operasi RM67.1 juta berbanding masing-masing RM268.5 juta dan RM370.4 juta padaFY24. 
 
Penurunan hasil disebabkan ketiadaan sumbangan daripada Paradigm Mall Johor Bahru dan Bukit Tinggi Shopping Centre susulan suntikan aset berkenaan ke dalam Paradigm REIT pada 10Jun 2025. 
 
Selain itu, keuntungan operasi tahun sebelumnya turut dipacu keuntungan pencairan kepentingan dalam usaha sama berjumlah RM184 juta yang tidak berulang pada FY25. 
 
Mengulas prospek, Tuck Fook berkata kumpulan berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan perbelanjaan pengguna yang kekal kukuh serta peningkatan ketibaan pelancong, selari momentum Tahun Melawat Malaysia 2026. 
 
“Kami menjangkakan prestasi lebih kukuh di semua pusat beli-belah dan portfolio hotel kami, didorong peningkatan jumlah pengunjung dan kadar penghunian yang lebih tinggi,” katanya.  
 
Click here to read the original article from Dagang News  
Latest Newsroom
2/25/2026
Nanyang Siang Pau