Korban Erat Ukhuwah Komuniti
29 May 2026
 
GOMBAK, 29 May 2026 - Harian Metro bersama syarikat hartanah dan pembinaan terkemuka, WCT Holdings Berhad (WCT) meneruskan tradisi kebajikan menerusi penganjuran program 'Titipan Kasih Korban 2026' dengan kerjasama Surau Al-Mukmin, Taman Mutiara Gombak, Rabu lalu. 
 
Program sempena sambutan Aidiladha itu bukan sahaja bertujuan melaksanakan ibadah korban, malah menjadi platform mengeratkan ukhuwah antara warga kerja WCT, Harian Metro dan komuniti setempat. 
 
Penganjuran kali ini juga menjadi kesinambungan kerjasama strategik antara Harian Metro dan WCT yang bermula tahun lalu menerusi projek menaik taraf balai raya berusia lebih 80 tahun di Kampung Sungai Kembong Hilir, Kajang yang memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk. 
 
Program korban kali ini menumbangkan tujuh ekor lembu dan hampir 200 golongan asnaf serta B40 di sekitar Taman Mutiara Gombak menerima manfaat hasil kerjasama erat antara pihak surau dan WCT. 
 
Pengagihan daging korban itu memberi fokus sepenuhnya kepada golongan asnaf yang sudah dikenal pasti dan disaring oleh jawatankuasa Surau Al-Mukmin bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. 
 
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Ketua Jabatan Audit Dalam WCT, Halmiaskandar Kasmiri, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM), Husain Jahit serta Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz. 
 
Turut hadir, Pengerusi Surau Al-Mukmin, Datuk Nasharuddin Shukor; Timbalan Pengerusi Surau Al-Mukmin, Azlan Abdul Jalil; dan Pengerusi Koperasi Mukmin Gombak Bhd merangkap Pengarah Qurban 1447H Surau Al-Mukmin, Tuan Haji Aminuddin Yahya. 
 
Pengarah Urusan Kumpulan WCT, Datuk Lee Tuck Fook berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkukuh peranan korporat sebagai rakan pembangunan negara yang prihatin terhadap komuniti. 
 
"Di WCT, kami percaya pembangunan komuniti mampan bukan hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal, tetapi turut merangkumi aspek kebajikan, nilai kemasyarakatan dan semangat kebersamaan. 
 
"Kami berharap program ini dapat menceriakan sambutan Aidiladha golongan yang memerlukan selain menjadi tanda sokongan berterusan kepada komuniti setempat," katanya. 
 
Dalam pada itu, Halmiaskandar berkata, program berkenaan selaras dengan aspirasi WCTGives menerusi tonggak #WeCareTogether dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat. 
 
Penerima sumbangan dan sukarelawan di Program Titipan Kasih Korban 2026 Harian Metro dan WCT di Surau Al-Mukmin, Taman Mutiara Gombak. FOTO Eizairi ShamsudinPenerima sumbangan dan sukarelawan di Program Titipan Kasih Korban 2026 Harian Metro dan WCT di Surau Al-Mukmin, Taman Mutiara Gombak. 
 
Sementara itu, Husain berkata, program kolaborasi itu mencerminkan komitmen berterusan Harian Metro dan WCT dalam menyemarakkan syiar Islam serta membantu golongan memerlukan. 
 
"Program Titipan Kasih Korban ini sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami untuk sentiasa dekat dengan masyarakat. 
 
"Selepas kejayaan projek sulung bersama WCT tahun lalu, kami teruja meneruskan sinergi ini melalui pendekatan berbeza dengan memberi fokus kepada kebajikan dan kerohanian komuniti bandar sempena Aidiladha," katanya. 
 
Beliau berkata, pembabitan aktif warga kerja WCT dan Harian Metro bersama kariah Surau Al-Mukmin diharap dapat menceriakan sambutan Aidiladha golongan asnaf selain mengukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat. 
 
Katanya, program khidmat masyarakat itu juga selari dengan aspirasi TKHM yang sejak diperkenalkan pada 2007 terus memberi fokus kepada nilai perpaduan dan kepedulian sosial. 
 
Husain Jahit (kiri) dan Halmiaskandar Kasmiri (dua dari kiri) memotong daging di Program Titipan Kasih Korban 2026 Harian Metro dan WCT Holdings Berhad. FOTO Eizairi ShamsudinHusain Jahit (kiri) dan Halmiaskandar Kasmiri (dua dari kiri) memotong daging di Program Titipan Kasih Korban 2026 Harian Metro dan WCT Holdings Berhad. 
 
Sementara itu, penerima sumbangan, Mustapa Abd Jalil, 56, bersyukur dengan pelaksanaan program CSR itu dan ramai penerima yang kurang berkemampuan mendapat manfaat daripadanya. 
 
"Alhamdulillah, saya berharap program sebegini dapat diteruskan setiap tahun kerana dapat membantu asnaf seperti saya," katanya yang juga pemegang kad orang kurang upaya. 
 
Ibu kepada enam anak, Aishah Yusuf, 62, yang juga penerima sumbangan berterima kasih kepada WCT dan akhbar ini kerana melaksanakan program yang memberi manfaat kepada semua. 
 
"Saya harap dapat dilakukan lagi walaupun bukan di kawasan kami kerana golongan B40 dan asnaf pasti gembira dengan sumbangan diterima," katanya. 
 
Penerima sumbangan dan sukarelawan di Program Titipan Kasih Korban 2026 Harian Metro dan WCT di Surau Al-Mukmin, Taman Mutiara Gombak. FOTO Eizairi ShamsudinPenerima sumbangan dan sukarelawan di Program Titipan Kasih Korban 2026 Harian Metro dan WCT di Surau Al-Mukmin, Taman Mutiara Gombak. 
 
Click here to read the original article from Harian Metro. 
Latest Newsroom