Kreativiti Jadi Nilai Tambah
24 July 2026
Berbekalkan kemahiran asas menjahit, kreativiti serta minat, wanita boleh memulakan perniagaan dari rumah tanpa memerlukan modal terlalu besar.
KLANG, 24 JUNE 2026 - Dalam era ekonomi yang semakin mencabar, kemahiran seperti menjahit bukan lagi untuk sekadar hobi atau keperluan tradisional.
Sebaliknya, kemahiran juga menjadi aset berharga yang dapat mampu membantu wanita menjana pendapatan secara fleksibel dan berterusan.
Dengan hanya berbekalkan kemahiran asas menjahit, kreativiti serta minat yang mendalam, seseorang wanita itu boleh memulakan perniagaan dari rumah tanpa memerlukan modal terlalu besar.
Apatah lagi jika mendapat latihan berterusan dan kreativiti tinggi, kemahiran itu mampu berkembang daripada sumber pendapatan sampingan kepada perniagaan yang menjana keuntungan lumayan.
Menyedari keperluan itu, WCT Holdings Berhad (WCT) melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu wanita dalam kalangan B40 dan komuniti berpendapatan rendah yang memerlukan sokongan dengan kemahiran jahitan praktikal.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi program 'WCTGives Threads of Hope' dengan kerjasama 'Grace Community Services' (GCS) dan Hazel & Nutz.
Ia bagi membantu golongan berkenaan memperkukuh keupayaan, membina kehidupan yang lebih mampan dan meningkatkan daya tahan kewangan.
Ramai wanita dalam komuniti terbabit sudah mempunyai kemahiran asas menjahit tangan, mencerminkan daya usaha dan keazaman mereka untuk menyokong keluarga masing-masing.
Namun, kekangan akses kepada mesin jahit, bahan jahitan serta latihan berstruktur menyukarkan mereka untuk mengembangkan kemahiran kepada peluang pendapatan yang lebih bermakna.
Hazel mengendalikan sesi latihan bersama peserta.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan WCT Datuk Lee Tuck Fook, inisiatif untuk komuniti itu berlandaskan kepercayaan bahawa impak yang mampan datang daripada pemerkasaan jangka panjang untuk berdikari, bukannya bantuan jangka pendek.
"Ia mencerminkan pendekatan ini selain mewujudkan laluan berstruktur bagi wanita untuk membina keyakinan diri, memperkukuh keupayaan praktikal dan membuka peluang ke arah kebebasan ekonomi masa depan," katanya.
Dalam pada itu, program berkenaan akan diadakan selama 11 minggu, merangkumi 11 sesi kelas jahitan, dengan setiap sesi selama empat jam dan dijalankan dalam kumpulan kecil.
Ia bagi memastikan bimbingan yang lebih peribadi, latihan praktikal serta pembelajaran secara langsung. Program itu akan diakhiri dengan majlis graduasi yang mana peserta akan mempamerkan projek jahitan yang disiapkan serta meraikan perkembangan mereka dalam membina kemahiran praktikal bagi menyokong peluang menjana pendapatan pada masa hadapan.
Sebagai sokongan kepada inisiatif itu, syarikat berkenaan turut menaja sepuluh mesin jahit bersama peralatan dan bahan jahitan bagi memastikan peserta dilengkapi sepenuhnya sepanjang program berlangsung.
Semua mesin jahit itu akan kekal di pusat komuniti GCS bagi menyokong pembangunan kemahiran berterusan serta inisiatif latihan pada masa hadapan selepas program tamat.
Sementara itu, sebagai jurulatih program yang juga pengasas Hazel & Nutz Hazel Loke berkata, beliau akan berkongsi pengalaman dalam reka bentuk fesyen dan keusahawanan untuk membimbing peserta melalui setiap peringkat pembelajaran jahitan.
Ia merangkumi daripada teknik asas hinggalah kepada penghasilan projek jahitan praktikal.
"Ramai peserta bermula dengan pengetahuan asas, namun melalui latihan berstruktur dan praktikal, mereka mampu membina keyakinan dan meningkatkan kemahiran.
"Secara beransur-ansur mereka akan dapat menghasilkan produk jahitan yang boleh dikembangkan menjadi peluang menjana pendapatan," katanya.
Click
here to read the original article from Harian Metro.