WCT Perluas Inisiatif Alam Sekitar dalam Pengurusan Sisa dan Pemuliharaan
06 November 2026
KUALA LUMPUR, 5 NOVEMBER 2026 - WCT Holdings Bhd (WCT) telah mempergiat usaha mengurangkan pembaziran makanan di hotel miliknya melalui sistem pemprosesan sisa yang ditambah baik dan inisiatif penyelamatan makanan termasuk pengagihan semula lebihan makanan yang masih elok dan boleh dimakan kepada komuniti memerlukan.
Pengarah Urusan Kumpulan WCT Datuk Lee Tuck Fook berkata pihaknya sedang meneroka cara untuk menguruskan sisa makanan dengan lebih berkesan dan meminimumkan pelupusan yang tidak perlu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab alam sekitar mereka.
"Tanggungjawab alam sekitar adalah aspek yang perlu kita pertimbangkan dalam cara kita mengendalikan perniagaan, bukan hanya melalui aktiviti yang dianjurkan di luar operasi syarikat.
"Di hotel-hotel kami, kami sedang mencari kaedah untuk menguruskan sisa makanan dengan lebih baik dan mengurangkan pelupusan yang tidak perlu," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, Le Méridien Petaling Jaya telah menaik taraf sistem Penukaran Bio Mudah Alih Entomal (EMBC), yang pertama kali diperkenal pada April 2024, kepada sistem EMBC+ pada Julai lepas.
Sistem yang dinaik taraf itu memproses sisa makanan melalui kaedah pengisaran, penyahairan dan pengasingan minyak sekali gus membolehkan pengendalian dilakukan dengan lebih cekap serta bersih.
Sejak sistem EMBC diperkenal, pihak hotel telah memproses sejumlah 40,500 kilogram sisa makanan yang secara tidak langsung mengelakkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak kira-kira 81 tan setara karbon dioksida (CO2e).
Le Méridien Petaling Jaya juga telah menerima pengiktirafan “Green Hotel” daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada Julai lepas sebagai penghargaan terhadap amalan mesra alam yang dilaksanakannya.
Sementara itu, Première Hotel Klang telah memperkenal Program Penyelamatan Makanan dengan kerjasama “What a Waste” pada September lepas yang bertujuan menyelamat dan mengagihkan semula lebihan makanan yang masih elok serta boleh dimakan, termasuk hidangan bufet yang belum disajikan, kepada golongan memerlukan melalui proses kutipan berjadual.
Inisiatif itu bertujuan mengurangkan pembaziran dengan memastikan lebihan makanan yang masih elok dan boleh dimakan diagihkan semula kepada komuniti memerlukan.
Selain pengurusan sisa makanan, WCT turut meneruskan usaha pemuliharaan biodiversiti menerusi inisiatif WCTGives #AGreenerTomorrow. Dengan kerjasama Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter (RAS UiTM SC), kumpulan itu menanam 2,000 anak pokok bakau di Denai Tebuk Mendeling, Sabak Bernam, sekali gus melepasi sasaran tahunan sebanyak 500 pokok.
Program itu merupakan kerjasama tahun ketiga berturut-turut antara WCT dan RAS UiTM SC, dengan sejumlah 3,864 pokok telah ditanam menerusi kerjasama berkenaan sejak 2024 bagi menyokong pemulihan ekosistem hutan bakau dan pemeliharaan biodiversiti pesisir pantai.
WCT turut menganjurkan program Pendidikan Sungai Klang dengan kerjasama Selangor Maritime Gateway (SMG) bagi meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pekerjanya. Program itu merangkumi lawatan menaiki bot untuk memberi pendedahan mengenai usaha pemulihan sungai serta aktiviti pembersihan tebing sungai secara berpandu, sekali gus meningkatkan pemahaman mengenai kesan pencemaran plastik dan kepentingan pengurusan sisa yang betul bagi mencegah pencemaran dari puncanya.
Lee berkata pihaknya akan terus meneroka pelbagai pendekatan untuk menambah baik amalan kelestarian alam sekitar mereka melalui operasi perniagaan mahupun penglibatan para pekerja.
Menerusi inisiatif WCTGives #AGreenerTomorrow, para pekerja turut digalakkan menyertai aktiviti pemuliharaan alam sekitar dan mendalami pengetahuan mengenai isu yang memberi kesan kepada komuniti setempat.
Click
here to read the original article from Bernama.