Paradigm REIT Sasar Modal RM560 Juta, Antara IPO Terbesar Tahun Ini
16 May 2025
 
PETALING JAYA, 16 MAY 2025 - Paradigm REIT yang dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 10 Jun ini, menyasar untuk menjana RM560 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang ditawarkan pada harga RM1 sesaham.
 
Ia juga bakal menjadi antara IPO REIT terbesar di Malaysia dalam tempoh 13 tahun dan salah satu IPO terbesar di Malaysia tahun ini dengan permodalan pasaran Paradigm REIT dijangka bernilai RM1.6 bilion apabila disenaraikan nanti.
 
IPO ini merangkumi keseluruhan tawaran sehingga 560 juta unit tawaran, yang mana lebih kurang 254.7 juta unit diperuntukkan untuk pelabur runcit dan sekurang-kurangnya 305.3 juta unit ditawarkan kepada pelabur institusi.
 
Tawaran untuk pelabur runcit terdiri daripada kira-kira 32 juta unit kepada orang awam Malaysia, dengan 16 juta unit diperuntukkan khusus kepada pelabur Bumiputera (tawaran awam).
 
Kira-kira 27.8 juta unit ditawarkan kepada individu layak dan sehingga 194,862,500 unit kepada pemegang saham WCT Holdings Bhd (WCTH) yang layak berdasarkan nisbah satu unit bagi setiap lapan saham biasa WCTH yang dimiliki pada tarikh kelayakan.
 
Tawaran untuk pelabur institusi pula terdiri daripada 200 juta unit kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan baki 105.3 juta unit ditawarkan kepada pelabur institusi lain dan pelabur terpilih.
 
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Paradigm REIT Management Sdn Bhd, Selena Chua Kah Noi, berkata Paradigm REIT memberi tumpuan kepada penjanaan pendapatan stabil dan pertumbuhan jangka panjang menerusi pelaburan secara langsung dan tidak langsung dalam portfolio hartanah berpendapatan pelbagai guna.
 
Katanya, portfolio awal Paradigm REIT merangkumi tiga pusat beli-belah ternama, iaitu Paradigm Mall Petaling Jaya (PMPJ), Paradigm Mall Johor Bahru (PMJB), dan Bukit Tinggi Shopping Centre (BTSC) di Klang.
 
"PMPJ yang terletak di Kelana Jaya, Selangor, mempunyai kawasan boleh disewa bersih (NLA) seluas 680,048 kaki persegi sehingga 31 Mac 2025.
 
"Ia merupakan komponen utama pembangunan komersial bersepadu yang turut menempatkan Menara Pejabat The Ascent, kediaman servis The Azure Residences dan Sapphire Paradigm serta hotel bertaraf antarabangsa Le Méridien Petaling Jaya.
 
"Sementara itu, PMJB yang merupakan pusat beli-belah terbesar di Iskandar Malaysia, mencatatkan NLA sekitar 1.29 juta kaki persegi. Terletak hanya 20 minit dari Woodlands Checkpoint, Singapura, PMJB menjadi tarikan utama kepada pelancong dari negara jiran, sekali gus meningkatkan aliran pengunjung," katanya pada majlis pelancaran prospektus IPO Paradigm REIT di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, BTSC pula mempunyai kawasan boleh disewa kasar (GLA) seluas sejuta kaki persegi dan terletak dalam pembangunan bandar matang di Bandar Bukit Tinggi, Klang.
 
"Lokasinya yang strategik dan mudah diakses melalui Lebuhraya Shah Alam (KESAS) memberikan kelebihan dari segi keterlihatan dan kemudahan pengunjung," katanya.
 
Sementara itu, Pengarah Pelaburan, Kewangan dan Akaun Paradigm REIT, Chong Kian Fah, berkata pihaknya yakin situasi pasaran yang tidak menentu di peringkat global ketika ini tidak akan menjejaskan penyenaraian REIT itu pada bulan depan.
 
Katanya, hal ini kerana Paradigm REIT adalah saham yang bersifat defensif, ia tidak seperti IPO lain yang mudah terkesan oleh ketidaktentuan pasaran.
 
"Struktur organisasi kami menyerupai pelaburan pendapatan tetap, di mana pelabur akan menerima dividen secara konsisten setiap tahun.
 
"Kami komited untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada keuntungan kepada pelabur, dua kali setahun iaitu setiap enam bulan. Ia seakan-akan pelaburan tetap, tetapi dengan potensi pulangan yang lebih baik.
 
"Walaupun pasaran semasa mencabar, pelaburan seperti ini kekal menarik. Malah, dalam persekitaran kadar faedah rendah sekarang, pelaburan dalam REIT seperti Paradigm REIT menjadi lebih bernilai," katanya. 
 
Click here to read the original article from Berita Harian.