Tiga Pusat Beli-Belah Jadi Sandaran Paradigm REIT Jana Pendapatan
22 May 2025
KUALA LUMPUR, 22 MAY 2025 - Paradigm REIT tampil sebagai antara amanah pelaburan hartanah (REIT) runcit terbesar di Malaysia dengan portfolio bernilai RM2.4 bilion merangkumi tiga pusat beli-belah utama, iaitu Paradigm Mall Petaling Jaya (PMPJ), Paradigm Mall Johor Bahru (PMJB) dan Bukit Tinggi Shopping Centre (BTSC).
Paradigm REIT yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 10 Jun ini memiliki aset strategik yang terletak di kawasan berpenduduk padat dan pertumbuhan tinggi, iaitu Petaling Jaya, Johor Bahru dan Klang.
PMJB contohnya, antara pusat beli-belah terbesar di selatan dengan kawasan boleh disewa bersih (NLA) sebanyak 1.29 juta kaki persegi dan terletak berdekatan sempadan Singapura, menjadikannya destinasi pilihan pelancong dan pembeli dari negara jiran.
Dengan keluasan keseluruhan NLA/kawasan boleh disewa kasar (GLA) hampir tiga juta kaki persegi dan kadar penghunian purata melebihi 97 peratus, Paradigm REIT menunjukkan prestasi kukuh dari segi kestabilan kewangan dan strategi pertumbuhan mampan.
Pendapatan bersih hartanah (NPI) bagi tahun kewangan berakhir 2024 mencecah RM147.2 juta dengan margin NPI sebanyak 67.6 peratus, dikira berdasarkan hasil tidak termasuk pendapatan lain, yang termasuk pendapatan faedah daripada tunggakan sewa, lucut hak deposit, yuran kos pemilik harta dan yuran kapit tempat letak kereta, yang melebihi purata industri iaitu 65.9 peratus.
Bagi unjuran tahun kewangan 2025, Paradigm REIT menjangkakan pendapatan meningkat kepada RM232.7 juta, manakala keuntungan selepas cukai dijangka bertambah kepada RM110.9 juta, didorong oleh pengurusan penyewaan yang strategik, komitmen tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG) serta pelaburan dalam inisiatif peningkatan aset.
Ketiga-tiga aset mengekalkan kadar penghunian luar biasa, iaitu 100 peratus untuk BTSC, 97.9 peratus untuk PMPJ dan 99.2 peratus untuk PMJB.
Ini disokong kadar pengekalan penyewa yang kukuh seperti AEON di BTSC dan penyewa utama lain di PMPJ dan PMJB.
Hartanah berprestasi tinggi
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Paradigm REIT, Selena Chua, berkata kekuatan Paradigm REIT terletak pada portfolio hartanah berprestasi tinggi, pengurusan penyewa proaktif dan pendekatan penjenamaan yang dinamik.
"Kami bukan sekadar pusat beli-belah, tetapi hab gaya hidup dengan elemen pengalaman unik seperti litar go-kart dalam bangunan di BTSC dan gelanggang luncur dalaman di PMJB.
"PMJB berada dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan projek-projek seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), RTS Link serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Lokasinya yang berhampiran dengan Woodlands Checkpoint memberikan kelebihan besar dalam menarik pengunjung dan penyewa berprofil tinggi," katanya.
Beliau berkata, Paradigm REIT turut mempunyai hak penolakan pertama (ROFR) ke atas beberapa aset berprofil tinggi milik penajanya, WCT Holdings Bhd, termasuk gateway@klia2, Le Méridien Petaling Jaya dan Hyatt Place Johor Bahru.
"Aset ini membuka peluang untuk kami memperluas portfolio ke sektor pelancongan, hospitaliti dan hab pengangkutan," katanya.
Melalui nisbah hutang sebanyak 34 peratus yang masih jauh di bawah had kawal selia 50 peratus, Paradigm REIT mempunyai ruang pinjaman sekitar RM396 juta untuk memperluas portfolio serta menambah baik kemudahan sedia ada.
Pelabur turut dijanjikan pulangan pendapatan yang stabil, dengan komitmen agihan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada pendapatan boleh agih secara berkala menjadikannya pilihan menarik dalam persekitaran kadar faedah yang rendah.
Dengan landasan kukuh dibina, Paradigm REIT optimis untuk muncul sebagai peneraju dalam segmen REIT runcit, memacu nilai pelaburan jangka panjang sambil mengekalkan daya tarikan kepada penyewa dan pembeli.
Click
here to read the original article from Berita Harian.