WCT Kukuh Semangat Komuniti di Kajang, Salur Dana Baik Pulih Balai Raya
17 November 2025
KUALA LUMPUR, 17 NOVEMBER 2025 - WCT Holdings Berhad (WCT) melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbarunya, 'Mengeratkan Komuniti Bersama Membina Negara' dengan membaik pulih balai raya Kampung Sungai Kembong Hilir, Kajang.
Inisiatif dianjurkan WCTGives berpandukan tonggak utama syarikat itu, #WeCareTogether dan #EducationForAll, turut menambah baik kemudahan sokongan bagi pembangunan sosial, pembelajaran dan kesejahteraan komuniti di kawasan terbabit.
Balai raya berusia 80 tahun itu ditutup sejak 2017 akibat kerosakan struktur dan bumbung, baru-baru ini dibaik pulih oleh Pejabat Daerah Hulu Langat dan komuniti setempat.
Sumbangan WCT itu mampu memperkukuh peranan balai raya sebagai nadi masyarakat kampung yang memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penduduk.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif CSR itu, WCT turut menyumbang dana dan sokongan sukarelawan untuk menjalankan beberapa kerja utama, termasuk membaik pulih tandas bersebelahan dewan, menaik taraf gelanggang badminton menjadi ruang pelbagai guna serta menambah kemudahan dan ruang memasak.
WCT turut menyediakan meja, kerusi baharu serta sudut bacaan dilengkapi 300 buku untuk kegunaan kanak-kanak tempatan.
Penambahbaikan itu membolehkan balai raya kembali berfungsi sebagai lokasi perjumpaan komuniti, kelas memasak, sesi tuisyen, dan aktiviti riadah, sekali gus memupuk pembelajaran serta jalinan hubungan merentasi generasi.
Pengarah Urusan Kumpulan WCT, Datuk Lee Tuck Fook, berkata program itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya untuk memperkukuh peranan sebagai rakan pembangunan negara yang bertanggungjawab dan prihatin.
"Kami percaya kemajuan bermakna bermula di peringkat komuniti dengan membina semula ruang berkongsi, memperkasa belia melalui pendidikan, dan memupuk persekitaran yang mana orang ramai boleh belajar, berhubung, dan maju bersama-sama," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, melalui WCTGives, pihaknya terus mengukuhkan ikatan komuniti di samping memupuk rasa empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan kakitangan mereka.
Selain itu, WCT turut menghulurkan bantuan kepada 100 keluarga dari Kampung Sungai Kembong Hilir, Kampung Rinching Hilir, dan Kampung Sungai Kembong Hulu dengan menyediakan pakej Kotak Rezeki mengandungi barangan keperluan bernilai RM100 setiap satu.
Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Kembong Hilir, Jumat Omar, menyuarakan penghargaan komuniti atas sumbangan yang amat bermakna itu.
"Balai raya yang dinaik taraf ini bukan sahaja memulihkan sebuah bangunan, tetapi juga mengembalikan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk. Kami amat bersyukur atas sokongan dan usaha WCT dalam meningkatkan kesejahteraan kampung kami," katanya.
Bekas Pengarah Bebas Bukan Eksekutif WCT Holdings Berhad, Datuk Ab Wahab Khalil, yang turut hadir pada majlis itu berkata inisiatif berkenaan mengukuhkan komitmen WCT terhadap pembangunan dan kesejahteraan komuniti, menyediakan ruang yang selamat dan kondusif untuk pelbagai aktiviti.
Click
here to read the original article from Berita Harian.