Peningkatan KDNK akan Terus Menyumbang kepada Perkembangan Perniagaan WCT Holdings
16 June 2022

KUALA LUMPUR 16 Jun - WCT Holdings Berhad menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan meningkat dan menyumbang kepada perkembangan kumpulan terutama selepas ia mencatatkan perkembangan 4.3% pada Januari kepada 5.4% pada Mac 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Lee Tuck Fook berkata, pemulihan itu akan meningkatkan hasil kumpulan selaras dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi global serta domestik, sempadan antarabangsa, normalisasi pasaran tenaga kerja, peningkatan dalam perbelanjaan pengguna dan penerusan projek infrastruktur mega.

Beliau berkata, Bahagian Kejuruteraan dan Pembinaan terus mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan dijangka kekal sebagai penyumbang utama selepas kejayaan mereka mendapatkan projek baharu bernilai RM1.48 bilion pada 2021 di dalam suasana yang sangat mencabar.

"Di sebalik pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), WCT kekal fokus pada bidang seperti perolehan yang cekap, pengurusan rantaian bekalan dan pelaksanaan projek.

"Perkara itu mendorong kepada Bahagian Kejuruteraan dan Pembinaan untuk menyiapkan dua projeknya iaitu Projek Pembangunan Lusail di Doha dan jajaran MRT2 V204 & S204 dari Portal Selatan Bandar Malaysia ke Kampung Muhibbah, salah satu jajaran yang paling mencabar bagi laluan MRT2," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, pendapatan kumpulan kekal tidak berubah bagi FY21 dengan RM1.70 bilion menyamai pendapatan pada FY20.

Walaupun pertumbuhan hasil tidak berubah, kumpulan itu berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM97.2 juta berbanding kerugian bersih RM213.6 juta yang dicatatkan pada FY20 disebabkan pertumbuhan daripada semua segmen perniagaannya.

Beliau berkata, industri pembinaan dijangka mengembang sebanyak 16.5% tahun ini dengan kerajaan memberi fokus untuk menyiapkan infrastruktur mega dan meningkatkan pelaburan dalam bidang industri serta tenaga.

Bahagian Pembangunan Hartanah mengekalkan daya tahannya dengan mengembangkan kehadiran digitalnya dan inisiatif itu menyumbang secara kasar sebanyak 70% kepada jualan hartanah kumpulan bagi 2021.

"Bagi 2022, kumpulan akan terus menawarkan insentif jualan yang menarik melalui pelancaran dan tawaran pembangunan hartanah selain pusat beli-belah dan hotel runcit akan terus memberikan pengalaman pelanggan eksklusif dan pilihan F&B yang berbeza," katanya. - DagangNews.com

Click here to read original article from Dagangnews.com.

Latest Newsroom
10/28/2022
The Star Online